Kehidupan


Seni Kehidupan

“Hidup adalah rangkaian pilihan demi pilihan. Hanya orang yang berusaha memelihara hubungan dengan Allah dan mencari ilmu sahaja yang akan memilih kebenaran. Kerana rezeki, maut dan jodoh setiap manusia telah ditentukan oleh Allah” SMS dari seorang sahabat.
Saya sentiasa terjerat untuk membuat pilihan. Kadang-kadang terasa buntunya fikiran mengalami keadaan sedemikian. Adakah saya hanya perlu ‘redha’ dengan keadaan yang menentukan?
“Hakim, memang betul kita kena redha dengan apa yang Allah tentukan. Tapi kau kena tahu, Allah tak biarkan apa yang dia tentukan camtu sahaja. Biar kita usaha untuk tahu apa yang Allah nak rancangkan”, kata dari lubuk hati Abang Syukri Amin.
Benarlah dunia ini bukan mudah untuk kutafsirkan. Saya terkadang rasa ada perkara yang perlu saya terus usaha lebih. Saya sedih, gementar dan takut. Saya cuba kejar banyak perkara untuk saya fahami kenapa..
“Hakim, kita hidup ni ibarat di atas lebuh raya. Ada yang laju, ada yang perlahan. Tak perlulah kita nak ikut laju diorang”, kata Abang Hazwan.
Perlahan-lahan hari demi hari saya buka lembaran tafsir mushaf tercinta. Saya tatap dan saya amati betul-betul. Sehingga satu saat dalam keadaan separa sedar, saya tertacap pada satu ayat dan lama merenung ayat tersebut;
“Mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya” (Surah Al-Mu’minun : 61)
Dalam liku-liku perjalanan rumit itu, saya seringkali mentafsirkan kepada lukisan-lukisan yang saya lakar secara surealisme danimpresionisme. Itulah lakaran yang datang dari minda separa sedar saya. Kebanyakan lukisan itu saya sedari, selalunya mempunyai lingkaran-lingkaran berpusat. Rumit mentafsirkannya secara seni.
Apabila merenung alam ciptaan Allah, saya menjadi sangat tenang. Ciptaannya saling berkaitan antara satu sama lain. Gugusan langit lengkap dengan sistem-sistem teratur. Panorama laut biru yang memukau begitu luas terbentang indah. Pokok-pokok hijau berayun-ayun melambai seolah-olah bertafakur memuji Tuhannya. Gunung-gunung terpaku gah di tapak bumi mengingatkan saya satu ayat,
“Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir” (Surah Al-Hasyr : 21)
Melalui semua keadaan ini, saya menemukan falsafah hidup saya. Life is not to be questioned, but to be answered (Dunia bukan untuk dipersoalkan tetapi untuk dijawab).Terhasillah coretan seni kehidupan untuk saya teruskan perjalanan saya mengenal-Nya.
Saya pada asalnya memilih untuk menulis bagi memahami diri, tetapi Allah memilih untuk saya berkongsi. Saya bukanlah seorang yang berilmu tinggi. Sekadar memenuhi citarasa seni, design for future generation..

(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan Ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksa neraka. (Surah Ali Imran : 191)